Isnin, 26 Februari 2018 | 3:34pm

Pesawat AirAsia X mendarat cemas di Okinawa

KUALA LUMPUR: Pesawat AirAsia X membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Naha, Okinawa, Jepun, jam 2.59 pagi waktu tempatan hari ini, akibat kerosakan enjin.

Bagaimanapun semua 397 penumpang dan anak kapal selamat.

Sementara itu, AirAsia X dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Penerbangan D7 523 berlepas dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, menghala ke Kuala Lumpur, semalam terpaksa menukar laluan ke Okinawa, Jepun, kerana masalah teknikal.

"Pesawat mendarat dengan selamat di Okinawa jam 2.59 pagi waktu tempatan dan seramai 369 penumpang serta 10 anak kapal selamat," katanya.

Menurut kenyataan, pesawat D7 689 akan dihantar dari Kuala Lumpur untuk membawa penumpang yang terbabit untuk pulang ke Kuala Lumpur.

"Penerbangan D7 689 dijadualkan berlepas dari Okinawa jam 930 malam ini (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur jam 2 pagi esok (waktu tempatan).

"Semua bantuan yang diperlukan oleh penumpang akan disediakan selain perkembangan terkini akan disalurkan dari masa ke semasa," katanya.

Difahamkan, enjin kanan pesawat itu mengalami masalah kira-kira jam 2.15 pagi waktu tempatan, memaksa kapten penerbangan mematikan enjin berkenaan sebelum mengumumkan pendaratan cemas.

Berita Harian X