Rabu, 28 Februari 2018 | 11:09am
KEADAAN treler yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 315.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Tapah, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
SEORANG lelaki maut, manakala anaknya cedera apabila treler yang mereka naiki dirempuh treler lain di Kilometer 315.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Tapah, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Bapa maut, anak cedera nahas 2 treler

TAPAH: Seorang lelaki maut, manakala anaknya cedera apabila treler yang mereka naiki dirempuh treler lain di Kilometer 315.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.05 pagi, T Gopinath, 43, disahkan maut di lokasi kejadian, sementara anaknya, G Selvan, 19, cedera ringan.

Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi treler berusia 27 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua treler dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler membawa muatan besi dipandu lelaki berusia 27 tahun, cuba memotong treler tanpa muatan dinaiki mangsa tetapi hilang kawalan.

"Kejadian menyebabkan treler mangsa terkena muatan besi sebelum merempuh belakang treler yang memotong," katanya.

Somsak berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Polis menahan pemandu treler yang membawa muatan besi itu untuk saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua treler terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Gopeng untuk pemeriksaan lanjut.

22 dibaca
Berita Harian X