Rabu, 28 Februari 2018 | 3:03pm
TERTUDUH (kanan) dijatuhkan hukuman penjara selama 29 tahun dan 19 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak tirinya berumur enam tahun selepas perbicaraan, di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Penjara 29 tahun, 19 sebat rogol anak tiri

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 19 sebatan terhadap seorang buruh selepas didapati bersalah merogol anak tirinya berusia enam tahun.

Hakim Indra Ayub menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 34 itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah pada 12 Mei 2017 melakukan kesalahan itu pada pagi 22 Jun 2016 di sebuah kampung di Ranau dengan merogol mangsa yang ketika itu berusia enam tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Akmalzatul Mohamed yang memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.

"Dalam kes ini, tertuduh bukan sahaja merogol mangsa, malah perlakuan rogol ini dibuat terhadap anak tirinya.

"Hasil semakan pihak pendakwaan, kes ini bukan kesalahan jenayah pertama tertuduh, dia pernah melakukan kesalahan jenayah lampau mengikut Ordinan 15 Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah iaitu mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam pada 2013.

"Tertuduh sepatutnya menjaga dan membela mangsa namun dia sendiri mengambil kesempatan dan merosakkan masa depan mangsa," katanya.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju jaket gelap merayu hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan anak kecil seramai tiga orang termasuk anak tirinya.

"Saya reda menerimanya, saya betul-betul merayu supaya mempertimbangkan hukuman saya," katanya.

Indra sebelum membuat keputusan berkata, tertuduh sebagai bapa tiri harus melindungi mangsa yang berusia enam tahun ketika itu, namun dia mengkhianatinya.

Berita Harian X