Sabtu, 3 March 2018 | 4:03pm
PEGAWAI dan anggota polis cawangan D7 Bukit Aman memeriksa premis yang menjalankan aktiviti judi haram di Ampang, kelmarin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Premis judi diserbu

KUALA LUMPUR: Sebuah premis yang dikesan menjalankan kegiatan judi mesin simulator meja dan kotak secara haram diserbu di Pandan Jaya, malam tadi.

Kedai tiga tingkat tanpa lesen itu diserbu Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kira-kira jam 11 malam susulan maklumat dan risikan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata risikan awal mendapati pintu kedai berkenaan sentiasa bertutup dan berkunci menggunakan sistem magnetik.

"Hanya pengunjung dikenali atau dipercayai dibenar masuk dan kaedah itu biasa dilakukan sindiket perjudian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya di sini, hari ini.

Katanya, lima mesin simulator meja membabitkan tiga mesin permainan logo kereta dan masing-masing satu mesin permainan gambar binatang dan 'wukong' serta 20 mesin simulator kotak dirampas.

"Kita turut merampas empat keping cip, 20 keping kad tambah nilai RM10 dan RM100 serta wang tunai RM353.

"Dua pekerja lelaki warga Bangladesh dan tiga pelanggan iaitu seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang pemegang Mykad bertaraf pemastautin tetap turut ditahan," katanya.

Rohaimi berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ia adalah premis kedua di ibu negara diserbu D7A JSJ Bukit Aman dalam tempoh dua hari berturut-turut susulan cubaan sindiket perjudian menghidupkan semula kegiatan.

Kelmarin, polis menyerbu sebuah premis di Ampang kerana menjalankan kegiatan mesin simulator meja dan simulator kotak dengan berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK).

Berita Harian X