Isnin, 5 March 2018 | 8:20pm
KEJADIAN pokok tumbang berhampiran Bulatan Billon, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto Ihsan Pembaca

Pokok tumbang selepas angin kencang sekitar Lembah Klang

PETALING JAYA: Hujan lebat berserta angin kencang, petang tadi mengakibatkan insiden pokok tumbang di beberapa buah lokasi di Lembah Klang.

Dalam kejadian kira-kira pada jam 3.30 petang, sebuah pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta milik seorang penduduk di Gugusan Melur, Seksyen 4 Kota Damansara.

Pengerusi Persatuan Penduduknya, Zaini Abdullah, berkata kejadian disebabkan oleh angin kencang kira-kira selama lima minit disusuli dengan hujan lebat.

"Hujan mula turun dengan lebat kira-kira pada jam 3.30 petang, waktu itu kebanyakan penduduk tidak berada di rumah sementara saya berada di dalam kereta tidak jauh dari kawasan rumah.

"Tiba-tiba, datang angin kencang selama lima minit, kemudian saya dimaklumkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis PROTON Saga milik salah seorang penduduk.

"Saya membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Pokok itu dipercayai sudah berusia lebih daripada 15 tahun, hampir sama usianya dengan blok pangsapuri ini, sebelum ini sudah banyak kali aduan dibuat berkenaan pokok tua di sekitar kawasan ini, tetapi tiada maklum balas.

"Kawasan sekitar Seksyen 6 yang paling teruk terjejas, sebanyak empat hingga lima batang pokok besar tumbang melintang atas jalan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan operasi pemotongan pokok selepas insiden pokok tumbang dilaporkan di Kampung Ginching, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Menurut jurucakap APM, seramai seorang pegawai dan 15 anggota terbabit dalam operasi berkenaan.

Sebatang pokok juga turut tumbang berhampiran Bulatan Billion, Cheras kira-kira pada jam 5.45 petang tadi.

Video dan gambar kejadian berkenaan turut viral di laman media sosial dan aplikasi Whatsapp.

Berita Harian X