Khamis, 8 March 2018 | 2:12pm
KAMAL Hisham Ja'afar.- Foto fail NSTP

Kamal Hisham diperintah bela diri

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini, memerintahkan peguam kontroversi, Kamal Hisham Ja'afar, 47, untuk membela diri terhadap 17 pertuduhan membabitkan pecah amanah, aktiviti pengubahan wang haram dan kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965.

Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan 3,4 dan 5 April depan sebagai tarikh mendengar hujahan akhir pembelaan.

Mohd Nasir berkata, pihaknya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes secara munasabah.

Beliau berkata, ia hasil penelitian dilakukan pihaknya terhadap bukti pendakwaan, hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta keterangan saksi sepanjang perbicaraan dijalankan.

"Selepas meneliti hujahan, saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes. Pihak pembelaan diminta memberi hujahan terakhir pada tarikh ditetapkan," katanya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah, Ku Hayati Ku Harun dan Shukor Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Terdahulu, Shaharudin menyatakan kesulitan terpaksa dialami anak guamnya kerana ditahan dalam tempoh lama iaitu kira-kira 900 hari.

Kamal Hisham dihadapkan ke mahkamah beberapa kali pada September 2015 selepas berjaya ditangkap di Singapura pada 2 September 2015 selepas menghilangkan diri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga tahun.

Dia dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM533,000, sembilan pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM150,000 dan enam pertuduhan mengikut Akta Syarikat.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Kamal Hisham didakwa menggunakan dua syarikatnya untuk memasuki perjanjian penyewaan ruang niaga bernilai RM515,000 dan RM18,000 di bangunan JB Sentral tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat Southern Ads pada Disember 2009 serta Oktober 2010.

Mengikut pertuduhan Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 pula, dia didakwa menerima sembilan keping cek berjumlah RM149,518.33 yang juga hasil aktiviti haram di Bank Muamalat Malaysia Bhd Cawangan Taman Johor Jaya di sini, antara 18 Mac hingga 5 Ogos 2010.

280 dibaca
Berita Harian X