Isnin, 12 March 2018 | 7:21pm
ANGGOTA bomba melakukan kerja pembersihan selepas sebuah lori membawa bahan kimia asid Nitrik tertumpah atas jalan raya berhampiran stesen minyak Shell Sungai Lokan, Sungai Dua, Pulau Pinang. - Foto ihsan Bomba

ANGGOTA yang tiba di lokasi kejadian membuat takungan supaya tumpahan bahan kimia itu tidak masuk ke dalam longkang dan seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA yang tiba di lokasi kejadian membuat takungan supaya tumpahan bahan kimia itu tidak masuk ke dalam longkang dan seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan. - Foto ihsan Bomba

Lori bawa asid nitrik terbalik

BUTTERWORTH: Sebuah lori membawa muatan asid nitrik terbalik mengakibatkan bahan kimia berkenaan tumpah dalam kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak dekat Sungai Lokan di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang itu, pemandu lori terbabit dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum ia terbabas dan terbalik.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

"Pemeriksaan di permukaan jalan mendapati kira-kira 68 peratus asid nitrik yang dibawa lori berkenaan tumpah dan hampir mengalir ke kawasan longkang berdekatan.

"Oleh itu, anggota yang tiba di lokasi kejadian membuat takungan supaya tumpahan bahan kimia itu tidak masuk ke dalam longkang dan seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi NSTP, sebentar tadi.

Tambah Saadon, sehingga kini kerja-kerja pembersihan masih lagi dijalankan di lokasi kejadian.

"Anggota memerlukan tempoh masa yang lama bagi memastikan supaya kawasan tumpahan itu bebas dan selamat daripada bahan kimia terbabit," katanya.

Berita Harian X