Sabtu, 17 March 2018 | 2:14pm
LOKASI kejadian seorang ibu tunggal ditumbuk di kepala hingga terjatuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Juasseh Tengah, Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya
LOKASI kejadian seorang ibu tunggal ditumbuk di kepala hingga terjatuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Juasseh Tengah, Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya
KERETA Proton Wira dilarikan suspek berjaya ditemui di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa. - Foto Amran Yahya
KERETA Proton Wira dilarikan suspek berjaya ditemui di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa. - Foto Amran Yahya

Samun: Ibu tunggal cedera ditumbuk, rugi RM5,000

KUALA PILAH: Seorang ibu tunggal kerugian dianggarkan RM5,000, selain cedera akibat ditumbuk di kepala hingga terjatuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Juasseh Tengah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Junaida Maarof, 51, dikatakan dihampiri seorang lelaki ketika mengunci pintu rumah untuk keluar membeli barang keperluan dapur.

Junaida mendakwa lelaki berusia 30-an itu terus merampas beg tangannya dan melarikan diri ke belakang rumah sebelum beliau mengejar sehingga berlaku pergelutan dengan suspek.

"Ketika bergelut, lelaki itu sempat meragut dua rantai leher dan gelang yang saya pakai. Malah, dia menumbuk kepala menyebabkan saya terjatuh.

"Lelaki itu kemudian mengikat kedua-dua tangan saya menggunakan tali ampaian. Dia juga mengikat mulut menggunakan tudung yang dipakai sebelum melarikan diri dengan Proton Wira milik saya menghala ke Pelangai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Junaida berkata, selepas berjaya membuka ikatan, beliau terus mendapatkan bantuan jiran dan menghubungi polis.

Selain barang kemas, beliau mendakwa turut kehilangan wang tunai RM300, kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, dua telefon pintar dan sebuah tab yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM5,000.

Terdahulu, Junaida berkata, kira-kira sejam sebelum kejadian, suspek datang ke rumahnya dengan menunggang motosikal Yamaha Z125 berwarna merah dan bertanyakan seseorang bernama Ridzuan.

"Namun, saya memberitahu tidak kenal dan menyuruh lelaki itu bertanya kepada jiran lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata kereta Proton Wira dilarikan suspek berjaya ditemui kira-kira 20 minit kemudian di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

Beliau berkata, polis mengesan beberapa cap jari suspek dipercayai warga tempatan itu pada kereta, dan usaha mengenal pasti identiti serta memburunya sedang giat dilakukan.

Justeru, katanya, orang ramai yang menyedari kehadiran individu mencurigakan di sekitar lokasi kejadian, diminta tampil menyalurkan maklumat.

"Susulan kejadian, mangsa yang cedera di dahi, muka dan tangan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

KETERANGAN GAMBAR

1. Kereta Proton Wira milik mangsa ditemui di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa. (Tolong kaburkan nombor plat kereta)

Berita Harian X