Rabu, 21 March 2018 | 5:16pm
SEBUAH lori tangki membawa muatan minyak sawit terbalik di Jalan Paroi-Senawang, berhampiran Lavender Heights yang menyebabkan berlaku tumpahan minyak sehingga laluan berkenaan ditutup bagi kerja pembersihan oleh anggota bomba. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menabur serbuk kayu bagi memerangkap lapisan minyak yang tumpah dari lori tangki minyak kelapa sawit yang membawa muatan minyak lebih kurang 25000 liter terbalik di persimpangan Jalan Paroi - Senawang hari ini. 
Lori tersebut dikatakan menghantar minyak dari Bahau ke Pelabuhan Klang (Westport). - Foto BERNAMA

Minyak sawit tumpah lori tangki terbalik

SEREMBAN: Pihak bomba mengambil masa lebih tiga jam membersihkan tumpahan minyak sawit berikutan kemalangan sebuah lori tangki di Jalan Paroi-Senawang berhampiran Lavender Heights di sini, hari ini.

Dalam insiden jam 12.15 tengah hari, lori tangki membawa muatan 25,000 liter minyak sawit itu yang dipandu seorang lelaki, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Nurazhim Mohd Shah, berkata kejadian itu menyebabkan tumpahan kira-kira 10,000 liter minyak di atas jalan.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Bomba mengambil langkah awal menutup laluan di lokasi kejadian sebelum melakukan kerja pembersihan tumpahan minyak.

"Minyak dari lori terbalik pula dipindahkan ke lori tangki lain. Bomba kemudian mendapatkan bantuan kren untuk mengalihkan lori itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, laluan dibuka semula kepada kenderaan sebaik kerja pembersihan selesai.

Berita Harian X