Khamis, 22 March 2018 | 4:21pm
OTMAN Arsahd hadir pada perbicaraan kes menyalah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM38.4 juta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto Saddam Yusoff

Kemuka resit beli gelang

KUALA LUMPUR: Resit pembelian gelang jenama Cartier berharga RM644,000 oleh Mastura Annuar, isteri bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd, 58, dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ia dikemukakan saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau juga mengemukakan resit pembelian dua jam Cartier atas nama Mastura, masing-masing berharga RM350,100 dan RM105,000 yang dibeli pada tahun 2011.

Selain itu, Asmawi turut mengemukakan resit pembayaran beberapa barang kemas dan jam berharga antara RM19,000 hingga RM488,000

Asmawi dalam keterangannya, turut mengesahkan ada merampas sijil pengredan berlian yang dikeluarkan Institut Gemological Amerika dan sijil pengesahan keaslian batu zamrud dikeluarkan Persatuan Perdagangan Permata Amerika.

Semua itu di dicatatkan dalam borang sitaan dikeluarkan terhadap tertuduh ketika SPRM menjalankan siasatan.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu RM38.4 juta di pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan, Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin dan perbicaraan bersambung esok.

7946 dibaca
Berita Harian X