Khamis, 22 March 2018 | 4:55pm
GAMBAR beberapa individu yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Sungai Long dan Bukit Mahkota Cheras yang viral di laman sosial.
GAMBAR beberapa individu yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Sungai Long dan Bukit Mahkota Cheras yang viral di laman sosial.

Polis buru geng samun Toyota Hilux

KAJANG: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai beberapa kejadian samun dan cubaan samun yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki di sekitar kawasan Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata kumpulan itu menyasarkan pikap jenis Toyota Hilux dan hingga semalam, satu kes samun dan empat kes cubaan samun sudah direkodkan pada tahun ini.

"Melalui laporan yang dibuat, polis sudah membuka lima kertas siasatan iaitu satu kertas siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkumpulan dan empat lagi kertas siasatan mengikut seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan samun.

"Modus operandi kumpulan ini akan menyerang mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Hilux yang berhenti di stesen minyak dan di kawasan tepi jalan menggunakan parang dan pisau," katanya dalam satu kenyataan.

Dzaffir berkata, pihaknya sedang giat memburu suspek yang terbabit dan maklumat telah diperoleh bagi tindakan mengesan dan menangkap suspek bagi tujuan siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, ASP Mohd Irwan di talian 0173168097.

Terdahulu, viral di laman sosial mengenai gambar beberapa individu yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Sungai Long dan Bukit Mahkota Cheras.

Muatnaik itu memaparkan beberapa individu yang disyaki menggunakan PERODUA Myvi dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan kenyataan memaklumkan supaya orang ramai berhati-hati.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X