Khamis, 22 March 2018 | 5:13pm
SEORANG penunggang motosikal maut selepas digilis lori di Jalan Dengkil-Banting, berhampiran Pusat Serenti Dengkil, Sepang, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Penunggang motosikal maut digilis lori

SEPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori di Jalan Dengkil-Banting, berhampiran Pusat Serenti Dengkil, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.57 pagi, mangsa dikenali sebagai R Mohanakumar, 31, bersama pembonceng dikatakan dalam perjalanan dari arah Dengkil ke Banting sebelum terlanggar lori yang cuba masuk ke kiri simpang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata mangsa dari Taman Permata Dengkil itu dipercayai terlanggar tayar belakang lori berkenaan sebelum terjatuh dan digilis.

"Mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala pembonceng tercampak di atas jalan dan parah pada tangan serta kaki.

"Pembonceng dibawa ambulans ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sehingga kini pemandu lori belum tampil memberi keterangan dan kes terbabit masih dalam siasatan.

2427 dibaca
Berita Harian X