Khamis, 22 March 2018 | 7:01pm
Pembantu sebuah pusat pembelajaran Nasrul Arman Ahmad, 41, (tengah) dibawa anggota Polis ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 38 pertuduhan jenayah seksual termasuk meliwat pelajar sejak Julai tahun lalu. - Foto BERNAMA

Sukarelawan tak mengaku liwat 10 pelajar tahfiz

KUANTAN: Seorang sukarelawan mengaku tidak bersalah terhadap 38 tuduhan melakukan gangguan seksual dan meliwat 10 pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz di daerah ini, di Mahkamah Sesyen, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nasrul Arman Ahmad, 41, meminta dibicarakan di hadapan, Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terhadap 10 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun di sebuah pusat tahfiz, di sini, daripada Julai 2017 hingga Februari lalu.

Tertuduh yang mengenakan baju T berwarna kelabu berdepan 29 pertuduhan meliwat enam pelajar di pusat tahfiz itu dan rumahnya di Taman Selamat, Teluk Sisek, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Nasrul Arman juga didakwa sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan gangguan seksual dan mencabul empat pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari kemudian meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mengenali rapat semua mangsa serta dibimbangi akan mempengaruhi mereka.

Tertuduh yang diwakili Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar kemudian memohon hakim mempertimbangkan jaminan diberikan kepada tertuduh serta menetapkan syarat sampingan ke atasnya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM380,000 untuk semua pertuduhan serta syarat tertuduh tidak boleh mendekati semua mangsa.

45 dibaca
Berita Harian X