Khamis, 22 March 2018 | 7:35pm
Sebahagian pasukan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas seramai 14 krew dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. - Foto Adi Safri

Siap sedia rawat kru kapal korek pasir

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Johor sudah membuat persediaan rawatan kecemasan untuk kru kapal korek pasir yang terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa di sini pagi semalam, dengan mengkhususkan pasukan perubatan dan ruang di dua hospital berhampiran.

Pengarahnya, Dr Selahuddin Abdul Aziz, berkata sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, pasukan perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Baru Pahat, dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan awal.

"Kami kini menempatkan tiga pasukan perubatan membabitkan masing-masing satu dari HPSF, HSNI dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Pada masa sama, kami menempatkan pasukan forensik di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi memudahkan mereka menjalankan tugas.

"Pengurusan HPSF dan HSNI juga diminta bersiap sedia menerima mangsa dengan mengkhususkan ruang bagi mereka yang memerlukan rawatan selepas diselamatkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui keadaan sebenar mangsa masih hilang tetapi bersedia memberi rawatan, terutama mereka dalam keadaan terlalu lemah.

Pada masa sama, katanya, pesakit datang mendapatkan rawatan di HPSF dan HSNI tidak diabaikan, malah semua unit di hospital terbabit masih berfungsi seperti biasa.

Dr Selahuddin turut mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama dan laluan kepada ambulans kerana sebarang kelewatan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Semalam, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas, tiga berjaya diselamatkan, manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, kira-kira jam 7.50 pagi.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 8.50 pagi memaklumkan kejadian itu dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal berkenaan.

12 dibaca
Berita Harian X