Khamis, 22 March 2018 | 8:19pm
V Ravinthiran (dua dari kiri) dan N Liemeshwaran (kanan) bersama peguam RSN Rayer selepas dibebaskan atas pertuduhan kematian seorang lelaki berusia 16 tahun pada 21 Januari 2015, selepas dihadapkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dua sahabat terlepas hukuman gantung

GEORGETOWN: Dua sahabat terlepas daripada hukuman gantung selepas mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, pada Januari 2015 lalu.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes terbabit.

Kedua-dua tertuduh, V Ravinthiran, 31, dan N Liemeshwaran, 23, yang mendengar keputusan itu terus memeluk ahli keluarga masing-masing.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh membunuh Muneeswaran, 16, di kawasan parkir berhampiran Jalan Dr Lim Chwee Leong, antara jam 10 pagi hingga 7.40 malam, pada 21 Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, satu-satunya bukti dikemukakan kepada pihak mahkamah adalah keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada kayu dan botol, yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh mangsa.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati bukti yang dikemukakan adalah tidak mencukupi. Justeru, mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Kes dikedalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamdzah Othman, manakala Ravinthiran diwakili peguam RSN Rayer dan Liemeshwaran diwakili peguam Rafael Abdullah.

Berita Harian X