Jumaat, 23 March 2018 | 3:02pm

Maut bertembung kereta

KLANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kopi, Meru, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 7.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Afdhalul Ihsan Mohd Shahari, 21, parah pada dada, patah tangan kiri dan kedua-dua kaki.

‎Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai menunggang motosikal dari arah Persiaran Hamzah Alang menghala ke Bukit Kapar.

"Setiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang datang dari arah Bukit Kapar.

Akibat rempuhan yang kuat, mangsa dan motosikalnya tercampak ke dalam parit di tepi laluan itu," katanya.

‎Mazelan berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, punca sebenar kemalangan belum diketahui.

Berita Harian X