Sabtu, 24 March 2018 | 8:19pm
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Bayi maut darah beku di kepala, patah tulang rusuk

MANJUNG: Jangkitan kuman teruk dan darah beku disebabkan kecederaan yang dipercayai disengajakan disyaki menjadi punca kematian bayi perempuan berusia enam bulan awal pagi tadi selepas lebih empat dirawat di Hospital Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata berdasarkan bedah siasat, bayi malang itu turut mengalami patah tulang rusuk kiri.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya pihaknya menahan empat suspek, termasuk ibu kandung dan bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan.

"Selain ibu kandung dan bapa tiri mangsa, turut ditahan adalah pengasuh mangsa dan suaminya yang berusia antara 25 hingga 35 tahun," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Hanif berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pihak hospital selepas bayi itu dirujuk untuk mendapatkan rawatan oleh penjaganya kira-kira jam 2 pagi.

"Ketika tiba di hospital mangsa didapati berada dalam keadaan lemah. Doktor mengesyaki berkemungkinan berlaku penderaan kepada mangsa.

"Pasukan perubatan memberikan rawatan awal kepada mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia 6.45 pagi," katanya.

Berikutan itu, Muhammad Hanif berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Berita Harian X