Ahad, 25 March 2018 | 1:06pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman. - Foto Abdullah Yusof
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman. - Foto Abdullah Yusof

Bayi ada kesan dera lama: Polis

IPOH: Beberapa kesan kecederaan lama dipercayai akibat didera ditemui pada badan bayi berusia enam bulan yang meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM), Manjung, awal pagi, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan didera sebelum dihantar ke HSM untuk menerima rawatan.

"Polis sudah periksa keadaan bayi itu dan menemui kesan kecederaan lama, jadi siasatan awal kita menjurus kepada dera kerana ia sudah dipercayai lama berlaku.

"Keadaan mangsa yang serius dipercayai menyebabkan pengasuh membawanya ke hospital awal pagi semalam sebelum mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian ketika menerima rawatan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Memperingati Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Yahya berkata, setakat ini empat suspek iaitu ibu kandung, bapa tiri serta pengasuh bersama suaminya yang kesemuya berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun direman untuk siasatan lanjut.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

BH semalam melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia jam 6.45 pagi selepas lebih empat jam dirawat di HSM dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman dalam kenyataannya semalam berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital selepas bayi berkenaan dihantar oleh pengasuhnya jam 2 pagi dan berada dalam keadaan lemah.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh jangkitan kuman teruk dan darah beku disebabkan kecederaan yang dipercayai disengajakan.

Berita Harian X