Jumaat, 30 March 2018 | 4:48pm

Penjara setahun sembunyi maklumat pengganas

KUALA LUMPUR: Dua beranak dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Omar, 53, dan anaknya, Jaffar Ahmad, 27, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 30 Ogos 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

"Orang yang kamu lindungi ini adalah pengganas yang dikehendaki polis. Jika kamu lapor, sudah tentu aktiviti pengganas dapat dibanteras.

"Jika kamu tidak sanggup untuk lapor pada polis, awal-awal lagi jangan bawa mereka kerja dengan kamu," katanya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad dan Jaffar, kedua-duanya bekerja sebagai pemasang jubin didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan Hajar Abdul Mubin adalah pengganas Abu Sayyaf yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di MAG-03 Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Hulu Langat, Selangor, pada 1 Mac 2017 hingga 30 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Faida Mohd Rasidee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tidak dapat menahan tangisan mereka ketika membuat rayuan agar dikenakan hukuman ringan.

Nur Faida bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah dan merampas telefon bimbit daripada kedua-dua tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tahu Hajar atau dikenali sebagai `Abu Asri' menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang mana Abu Asri diajar menggunakan senjata api dan pernah berperang di Filipina.

Keterangan turut menunjukkan Abu Asri sudah berada di Malaysia sejak 2011 dan pernah bekerja dengan Ahmad sebagai buruh binaan dengan memasang jubin lantai dan mengecat.

Kedua-dua tertuduh tahu Abu Asri menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf tetapi mereka gagal memberikan maklumat itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

14 dibaca
REAKSI ahli keluarga dua beranak yang dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, tahun lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X