Isnin, 2 April 2018 | 3:55pm

Polis rampas dadah RM20,000

RAUB: Polis menahan seorang pengedar dadah dalam serbuan di Taman Seri Wawasan 2, dekat sini, Khamis lalu, dengan lima rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan dalam kenderaan pacuan empat roda di hadapan rumah berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata penahanan dilakukan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Katanya, pemeriksaan ke atas lelaki itu membawa kepada penemuan heroin seberat 152.61 gram dianggarkan bernilai RM20,000 yang disembunyikan dalam beg sandang dibawa suspek.

"Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM2,800 dan alat dipercayai digunakan untuk memproses dadah seperti gunting serta alat penimbang digital daripada suspek.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek memperoleh bekalan bahan terlarang itu dari ibu negara," katanya pada sidang media di IPD Raub, di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan morfin.

Katanya, suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X