X
Isnin, 2 April 2018 | 7:17pm
KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Terengganu. - Foto Abu Bakar Al Sidek
KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Terengganu. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Dukung suami selamatkan diri dari kebakaran

TELUK INTAN: Seorang isteri bertindak nekad mendukung suaminya untuk menyelamatkan diri dari terperangkap dalam kebakaran yang berlaku ke atas rumah mereka.

"Saya menjerit api! beberapa kali sebelum bersama anak perempuan terpaksa mendukung suami keluar rumah menyelamatkan diri," kata Chan Sun Yet, 63, seorang daripada mangsa kebakaran di Kampung Terengganu, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.45 pagi itu, empat rumah musnah terbakar namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Sun Yet berkata, dia bersama suami Liew Yook Loon, 64, serta anak perempuan berusia 17 tahun berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, suaminya yang mempunyai masalah jantung mengalami sesak nafas susulan kebakaran yang berlaku membuatkan dia bersama anak terpaksa mendukungnya keluar rumah.

"Saya dengan anak mendukung suami yang mengalami sesak nafas kerana terhidu asap dan berada di tempat tidur.

"Suami memang ada sakit jantung dan sekarang dia sedang dirawat di Hospital Teluk lntan," katanya peniaga makanan itu ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, akibat kebakaran itu keluarganya mengalami kerugian mencecah RM50,000 selain hilang tempat tinggal.

Bencana itu turut mengakibatkan seorang peniaga sate, Muhammad Fariq Sukardi, 26, bersama keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang.

Muhammad Farid berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Norhidayu Karnain, 26, dan anak Nur Safiyya Humairah berusia 20 bulan terselamat dari kebakaran itu.

"Saya sekeluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar jeritan jiran dan segera lari menyelamatkan diri sebaik api mula menyambar dinding rumah.

"Kami tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah kerana api marak begitu kuat dan cepat," katanya yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM45,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkaflie Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 1 pagi hari ini dan sebaik tiba 90 peratus daripada rumah yang terbabit sudah musnah terbakar.

"Api dapat dipadam sepenuhnya jam 3.13 pagi bersama bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X