Khamis, 5 April 2018 | 3:37pm
BEBERAPA peralatan yang di percayai digunakan untuk mencuri duit di dalam tabung masjid selepas tertangkapnya tiga remaja di masjid Al Huda Sungai Kechil Ulu,semalam. - Foto ihsan PDRM

3 pelajar ditahan curi duit tabung masjid

KULIM: Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan ditahan polis kerana disyaki terbabit kes mencuri duit tabung Masjid Al-Huda, Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu berjaya menahan seorang suspek berusia 15 tahun dipercayai sedang mencuri duit di dalam tabung.

Bagaimanapun, dua rakannya berusia 16 dan 17 tahun, berjaya melarikan diri selepas bergelut dengan AJK masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso, berkata ketika kejadian, tiga suspek itu disyaki sedang mencuri duit di dalam tabung masjid terbabit.

"Selepas suspek pertama ditahan, pelbagai peralatan untuk kegiatan jenayah ditemui, iaitu senjata tajam yang diubah suai, pemutar skru, dawai dan pita pelekat.

"Susulan itu, sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah rumah di pekan Bandar Baharu kira-kira jam 8.30 pagi dan berjaya menahan dua suspek adik-beradik yang juga pelajar sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baruddin berkata, dua suspek terbabit akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai turut terbabit beberapa kes pecah tabung masjid di sekitar daerah Bandar Baharu dan kawasan berhampiran.

Katanya, tabung Masjid Al-Huda dikatakan sudah lapan kali kehilangan wang hasil sumbangan orang ramai, malah laporan polis dibuat pada 30 Mac lalu apabila wang tunai RM1,800 lesap.

"Berikutan tidak tahan dengan kejadian wang tabung hilang, mereka melakukan rondaan di masjid. Ketika menjalankan rondaan pada pagi semalam, mereka terserempak tiga suspek disyaki sedang mencuri duit tabung.

"Suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencuri duit tabung masjid untuk membeli dadah. Justeru, polis ingin menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak mereka sama ada di rumah atau di sekolah," katanya.

Katanya, kesemua suspek itu ditahan reman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan, Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X