Jumaat, 6 April 2018 | 5:41pm
KETUA Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Surayati Ibrahim menunjukkan kenyataan media mengenai pengeluaran Notis 14(5) Akta Pertubuhan 1966, Perintah Pembubaran Sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada pemberita ketika sidang media di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENYOKONG yang hadir membawa kain rentang pada Sidang Media Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengenai pengumuman ROS di Menara Yayasan Selangor. - Foto Rosdan Wahid

PPBM fail kebenaran semakan kehakiman cabar ROS

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara parti itu.

PPBM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, sebagai responden.

Dr Sharuddin memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Md Said pada 16 April depan.

Berdasarkan afidavit yang difailkan, Dr Sharuddin memohon perintah untuk melarang responden daripada mengeluarkan perintah pembubaran secara salah dengan menyalahgunakan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 terhadap PPBM.

Beliau juga memohon perintah melarang responden untuk mengambil sebarang tindakan secara salah dengan menyalahgunakan peruntukan akta untuk menyekat PPBM dari kekal wujud sebagai parti politik yang sah.

Selain itu, beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa PPBM sudah mematuhi semua keperluan ROS.

Beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa responden tidak mempunyai asas untuk mengeluarkan sebarang perintah pembubaran terhadap PPBM dan menghalang mereka menjalankan aktiviti sebagai parti politik yang sah berdaftar serta boleh bertanding Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam sidang media semalam, Surayati mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, berkuat kuasa semalam.

PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Pada masa sama PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti sepanjang tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

ROS mendapati PPBM gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) akta sama pada 28 Februari lalu.

19 dibaca
Berita Harian X