Jumaat, 6 April 2018 | 9:54pm

23 cedera turun dari Genting Highland

BENTONG: Sebuah bas persiaran dipercayai melanggar kereta menyebabkan 23 cedera ketika turun dari pusat peranginan Genting Highland di Kilometer 17.3 menghala ke Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 jam malam itu, 18 penumpang, termasuk pemandu bas dan lima penumpang kereta Honda Accord cedera dikejarkan ke Hospital Selayang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.24 malam tadi.

"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highland dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan bas persiaran dan sebuah kereta Honda Accord. Penumpang bas terdiri daripada 16 warga China dan dua warga tempatan, termasuk pemandu bas serta pemandu pelancong, manakala lima penumpang kereta terbabit adalah warga tempatan. katanya.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila bas merempuh kereta terbabit sebelum melanggar pembahagi jalan.

Berita Harian X