Isnin, 9 April 2018 | 11:50am

Motosikal hilang 11 tahun ditemui di sarang dadah

PENDANG: Sebuah motosikal dilaporkan hilang kira-kira 11 tahun lalu, akhirnya ditemui di sebuah rumah dipercayai menjadi sarang dadah di Kampung Padang Pusing di sini, dalam serbuan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata hasil pemeriksaan mendapati motosikal jenis Honda EX5 Class itu dilaporkan hilang di Pulau Pinang pada 2007.

Beliau berkata, motosikal itu dalam keadaan baik, malah masih menggunakan nombor pendaftaran asal.

Namun setakat ini, katanya, dua beradik penagih dadah tidak mengaku terbabit dalam kes mencuri motosikal itu walaupun ditemui di hadapan rumah mereka.

"Dalam serbuan jam 8.30 malam tadi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yasin, menyerbu rumah itu berdasarkan maklumat awam dan risikan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu didiami dua beradik lelaki berusia 31 dan 38 tahun bersama ibu sejak kematian bapa mereka.


TUJUH lelaki disyaki penagih termasuk dua beradik yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah dipercayai menjadi sarang dadah di Kampung Padang Pusing, Pendang, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

"Dua beradik itu dipercayai menjadikan rumah berkenaan sarang dadah sejak sebulan lalu dan turut bertindak sebagai pengedar di sekitar kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya juga menemukan dadah seberat satu gram (g) dan peralatan menagih, selain menahan lima lelaki berusia 21 hingga 30-an dipercayai rakan mereka yang melepaskan gian di situ.

"Kita menemukan si adik dengan tiga lelaki di tingkat atas rumah itu bersama 0.5g syabu, manakala si abang pula dengan dua rakan di tingkat bawah bersama 0.5g syabu.

"Kesemua mereka ditemui dalam keadaan khayal dipercayai baru mengambil dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan suspek ditahan itu bekerja kampung dan ada yang menjadi pemandu lori.

"Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut bersama peralatan dan dadah dirampas serta motosikal curi itu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

ANGGOTA polis memeriksa motosikal jenis Honda EX5 Class yang dilaporkan hilang sejak 2007 yang ditemui di sebuah rumah dipercayai menjadi sarang dadah di Kampung Padang Pusing, Pendang, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X