Selasa, 10 April 2018 | 2:32pm
MOTOSIKAL curi yang digunakan dua lelaki warganegara Myanmar yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Kuala Klawang-Genting Peres di Jelebu, kelmarin. - Foto Abnor Hamizam
MOTOSIKAL curi yang digunakan dua lelaki warganegara Myanmar yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Kuala Klawang-Genting Peres di Jelebu, kelmarin. - Foto Abnor Hamizam

Ditahan guna motosikal curi

JELEBU: Dua lelaki warganegara Myanmar ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Kuala Klawang-Genting Peres di sini, kelmarin, selepas didapati menggunakan motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata pekerja ladang masing-masing berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan ke atas motosikal dilaporkan hilang di Nilai, Jun lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan motosikal milik rakan mereka yang juga warga Myanmar untuk membeli barang keperluan di pekan Kuala Klawang.

"Suspek tidak tahu motosikal berkenaan adalah kenderaan curi kerana ia sudah digunakan rakan sejak beberapa bulan lalu.

"Seorang suspek mempunyai kad UNCHR manakala seorang lagi tiada pengenalan diri ketika ditahan dan selepas soal siasat, kita menyerahkan mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Kamarul Rizal berkata, sebanyak 32 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Katanya, sebanyak 85 individu dan 85 kenderaan diperiksa dalam operasi selama empat jam itu yang turut membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Berita Harian X