Rabu, 11 April 2018 | 6:41pm
SEORANG pemandu lori maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit. - Foto ihsan pembaca

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

KUALA NERUS: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta menyebabkan mangsa tercampak lalu dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, pagi tadi.

Dalam kemalangan di Jalan Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit di sini, Mohd Fadrisam Che Jusoh, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mangsa bekerja sebagai pemandu lori dan beralamat di Hulu Bati Gajah, Tanah Merah, Kelantan.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha RXZ ditunggangi mangsa dari arah Batu Rakit menghala ke tempat kerja di Chendering, Kuala Terengganu, dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas jalan di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah pacuan empat roda Toyoto Harrier dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun yang dipercayai tidak sempat mengelak.

Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi terbabit gagal dikenal pasti kerana melarikan diri dari lokasi selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau berkata, orang ramai yang mengenali pemilik dan pemandu Perodua Myvi berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

26 dibaca
Berita Harian X