Sabtu, 14 April 2018 | 2:18pm
DADAH yang dirampas dalam dua serbuan di Dungun. - Foto ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dalam dua serbuan di Dungun. - Foto ihsan PDRM

Macam-macam dadah ditemui di bengkel besi

DUNGUN: Taktik dua lelaki menjadikan sebuah bengkel besi di Kampung Bunga Raya, di sini sebagai tempat menyimpan dadah terbongkar selepas premis itu diserbu, semalam, sekali gus membawa penemuan pelbagai jenis dadah antaranya pil kuda, heroin dan ganja.

Bukan itu sahaja, polis turut merampas sebanyak 520 pil kuda, heroin dan ganja dalam serbuan kedua di rumah sewa milik suspek kedua berusia 35 tahun di Rumah Murah Kos Rendah (RMKR) Lapangan Terbang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira jam 9 malam, hasil maklumat dan intipan dijalankan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sebaik memperkenalkan diri, polis membuat pemeriksaan terhadap dua suspek berusia 53 dan 35 tahun yang berada di dalam bilik bengkel berkenaan.

"Pemeriksaan pada tubuh badan suspek pertama menemui empat paket plastik cerah berisi 25 pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda) di dalam poket hadapan di sebelah kanan seluar dipakainya.

"Bagaimanapun, kita tidak menemui apa-apa barangan salah terhadap suspek kedua dan pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemui satu botol plastik hitam bertudung mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.

"Kita juga menemui satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di atas lantai sebelum mereka ditahan," katanya, hari ini.

Baharudin berkata, hasil soal siasat suspek kedua mengaku ada menyimpan dadah di rumah sewanya di RMKR Lapangan Terbang dekat sini sebelum anggota ke lokasi itu bersama suspek.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik di atas lantai di ruang tamu mengandungi dua paket plastik biru yang setiap satu berisi 198 biji pil merah dan dua biji pil warna hijau disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, kita menemui satu kotak rokok mengandungi satu paket plastik biru berisi 118 biji pil berwarna merah dan dua biji pil berwarna hijau disyaki dadah jenis methamphetamine, dua bungkusan plastik berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dan satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Dua suspek kemudian dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X