Ahad, 15 April 2018 | 12:35pm
MOTOSIKAL ditunggang mangsa, Indara Rusli dalam kemalangan di Kilometer 17.2 Lebuhraya Elite, Sepang, semalam. - Foto ihsan pembaca

Penyelia kilang maut digilis lori

SEPANG: Seorang penyelia kilang maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta sebelum mangsa tercampak dan digilis lori di Kilometer 17.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 7.40 malam, Indara Rusli, 34, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 37 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil barang anaknya di bahagian belakang.

"Mangsa yang menunggang motosikal tiba-tiba melanggar bahagian belakang kanan MPV itu. Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kiri sebelum digilis sebuah lori yang berada di laluan berkenaan.

"Bagaimanapun, pemandu lori terbabit bertindak melarikan diri sejurus kejadian. Mangsa yang parah di seluruh badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu MPV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya sedang memburu pemandu lori terbabit yang melarikan diri, bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Keterangan gambar:

NOTE: mohon kaburkan nombor plat kenderaan

1. Motosikal ditunggang mangsa, Indara Rusli, 34, yang disahkan maut dalam kemalangan di Kilometer 17.2 Lebuhraya Elite, Sepang, semalam.

2. MPV Proton Exora yang dilanggar oleh mangsa.

143 dibaca
Berita Harian X