Rabu, 18 April 2018 | 5:52pm
KAMARUL Zaman Mat Ali. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
KAMARUL Zaman Mat Ali. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
MUHAMMAD Imran Khasimi Kamarul Zaman ( kiri) bersama ahli keluarga berada di unit forensik Hospital Setiu menunggu jenazah ayahnya, Kamarul Zaman Mat Ali yang maut terkena tembakan sewaktu menyertai operasi memburu gajah liar di kebun kelapa sawit di Kampung Pelong, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
MUHAMMAD Imran Khasimi Kamarul Zaman ( kiri) bersama ahli keluarga berada di unit forensik Hospital Setiu menunggu jenazah ayahnya, Kamarul Zaman Mat Ali yang maut terkena tembakan sewaktu menyertai operasi memburu gajah liar di kebun kelapa sawit di Kampung Pelong, Permaisuri, Setiu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Pekebun maut terkena tembakan ketika operasi gajah PERHILITAN

PERMAISURI: Seorang pekebun maut terkena tembakan, ketika menyertai operasi memburu gajah liar dalam kebun sawit Kampung Pelong di sini, malam tadi.

Mangsa, Kamarul Zaman Mat Ali, 58, yang bertindak sebagai penunjuk arah kepada empat petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut, dipercayai memasuki lokasi terbabit mulai jam 10 pagi semalam dan berterusan hingga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata mangsa bersama anggota PERHILITAN menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux jabatan itu ketika operasi.

"Kejadian didakwa berlaku ketika mereka dalam perjalanan memburu gajah liar yang sudah ditembak dengan pelali.

"Ketika itu mereka bertembung babi hutan dan sempat berhenti seketika untuk menembak haiwan terbabit sebelum menyambung perjalanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, pegawai PERHILITAN yang menembak babi itu kemudiannya menyandarkan selaras senapang jenis Baretta Auto Loaded pada bahagian tempat duduk belakang bersebelahan dengannya.

"Manakala pemandu dan seorang pegawai berada di bahagian depan sementara mangsa berdiri di bahagian belakang kabin bersama seorang lagi pegawai PERHILITAN.

"Selang beberapa minit HILUX bergerak, secara tiba-tiba senapang yang berisi peluru penabur itu meletup menembusi cermin belakang dan terkena mangsa pada bahagian dada yang berada di hujung kabin.

"Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.55 malam ketika dalam perjalanan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan, manakala pegawai PERHILITAN yang berada bersamanya di belakang kabin tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, empat pegawai PERHILITAN yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan menyebabkan kematian dengan cuai," katanya.

Berita Harian X