Isnin, 23 April 2018 | 5:13pm
GAMBAR fail, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi anggota keselamatan penjara selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan beliau merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan. - Foto Mohd Fadli Hamzah
GAMBAR fail, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi anggota keselamatan penjara selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan beliau merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Anwar tarik balik permohonan cabar Perlembagaan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik permohonan mendapatkan kebenaran memulakan cabaran dari segi perlembagaan bagi membatalkan satu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan rang undang-undang menjadi undang-undang selepas 30 hari, walaupun tidak mendapat perkenan yang di-Pertuan Agong.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, yang mengendalikan perkara itu kemudian mengetepikan permohonan berkenaan dengan memberi kebebasan untuk memfailkannya semula.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Anwar, memohon menarik balik permohonan itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.

Katanya, permohonan itu ditarik balik sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung saman Anwar yang mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Anwar, 70, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor kerana kesalahan liwat.

Pada 2 Januari tahun ini, Anwar memfailkan cabaran dari segi perlembagaan di Mahkamah Persekutuan bagi memohon kebenaran mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan untuk mempersoalkan keabsahan beberapa pindaan yang dibuat pada 1983, 1984 dan 1994, yang memansuhkan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi kelulusan muktamad kepada rang undang-udang yang diluluskan Parlimen.

​​​​​​​

​​​​​​​​​​​​​​Beliau perlu mendapat kebenaran daripada hakim tunggal sebelum merit kesnya boleh didengar Mahkamah Persekutuan.

Anwar mendakwa Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan sesuatu rang undang-undang secara automatik menjadi undang-undang selepas 30 hari ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tanpa mengira sama ada baginda memberi perkenan atau sebaliknya, adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Beliau juga mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pindaan berkenaan kerana ia memansuhkan syarat wajib berkaitan perkenan diraja, yang menurutnya, menjadi struktur asas bagi Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Anwar juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang menjadi undang-undang pada Jun 2016, tanpa perkenan diraja, adalah tidak sah.

Beliau menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden tunggal dalam cabaran dari segi perlembagaan itu.

Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh.

Berita Harian X