Khamis, 3 Mei 2018 | 1:16pm

Juruhebah radio didakwa miliki pistol, peluru

KUALA KANGSAR: Seorang juruhebah sebuah stesen radio di Ipoh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, dekat sini, minggu lalu.

Abdul Aziz Mohamed Desa, 47, menghadapi dua pertuduhan membabitkan masing-masing satu kes memiliki sepucuk pistol jenis Walther semiauto buatan Jerman dengan nombor siri 287113, dan memiliki tujuh butir peluru.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki pistol berkenaan di Kilometer 28 Kampung Bahagia, Sungai Siput Utara dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan disebat tidak kurang enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki tujuh butir peluru pada waktu dan tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tiada diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan meminta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil, di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu.

Abdul Aziz dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menanggung enam anak yang kesemuanya masih bersekolah.

Rohaida kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan 1 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta pelantikan peguam bagi tertuduh dan serahan dokumen.

Terdahulu sebelum prosiding pendakwaan bermula, keadaan di dalam mahkamah menjadi sayu apabila beberapa ahli keluarga Abdul Aziz menangis, termasuk bapanya, sebaik dia dibawa masuk ke kandang tertuduh.

Pada 26 April lalu, NSTP melaporkan seorang juruhebah radio ditahan selepas didapati memiliki senjata api ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di lampu isyarat Sungai Siput, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, suspek berusia 47 tahun memandu kereta jenis Toyota Wish berwarna kuning, ditahan apabila didapati menggunakan lampu 'beacon' mencurigakan, oleh sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput yang sedang menjalankan Operasi Lampu Isyarat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, dilaporkan sebagai berkata, hasil pemeriksaan ke atas pemandu membawa penemuan sepucuk pistol semiauto jenama Walther di dalam sarung bersama satu kelopak peluru hidup.

ABDUL Aziz Mohamed Desa didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar, hari ini, atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, dekat sini, minggu lalu. - Foto Abdullah Yusof
ABDUL Aziz Mohamed Desa didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar, hari ini, atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, dekat sini, minggu lalu. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X