Jumaat, 4 Mei 2018 | 10:03am

Mahkamah Tinggi tolak permohonan saman pemula Tian Chua

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua, gagal dalam saman pemulanya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencabar keputusan menolak pencalonan beliau bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan, dalam keputusannya yang dibacakan hari ini, membenarkan bantahan awal dikemukakan oleh SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain, terhadap saman itu.

Nordin memutuskan bahawa permohonan membabitkan pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dan didengar oleh Hakim Pilihan Raya sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada sah atau tidak tindakan dibuat oleh SPR yang menolak pencalonan pemohon, dan saya juga tidak boleh membuat sebarang perisytiharan seperti yang dimohon.

"Undang-undang berkaitan pilihan raya jelas menunjukkan satu-satunya cara untuk mempertikaikan penolakan kertas penamaan calon adalah melalui petisyen pilihan raya," katanya.

Tiada sebarang perintah berhubung kos.

Tian Chua ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan.

Responden pertama dan kedua diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching, Suzana Atan, Shamsul Bolhassan serta Azizan Md Arshad.

Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang, 55, diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Datuk S Ambiga.

Isnin lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada PRU-14.

Berdasarkan writ saman, penyandang kerusi Parlimen Batu itu memohon perisytiharan bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen pada PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Beliau mendakwa, berdasarkan undang-undang termaktub, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, pada PRU-13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu, beliau ada hukuman denda RM2,000.

Tian Chua gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata, pada 28 April lalu, beliau bersama pencadang, Badaruddin Ismail, dan penyokong, Jacob Isaiah, hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama pada jam 9 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Parlimen Batu.

Pada jam 10.30 pagi, responden pertama memberitahu bahawa penamaan beliau ditolak atas alasan sudah dihukum denda RM2,000 dalam satu kes di Mahkamah Shah Alam.

Tian Chua membantah keputusan itu dan memaklumkan bahawa mahkamah sudah mengisytiharkan beliau tetap layak sebagai seorang Ahli Parlimen.

Beliau mendakwa keputusan responden menolak penamaannya sebagai calon Parlimen Batu adalah mala fide (berniat jahat), salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Tian Chua mendakwa disabitkan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam dan beliau merayu terhadap keseluruhan penghakiman.

Pada 2 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan denda itu dikurangkan kepada RM2,000.

Beliau mendakwa tiada rayuan dibuat atas hukuman itu kerana percaya bahawa keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan status dan kelayakannya.

NAIB Presiden PKR, Tian Chua keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas gagal dalam permohonan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penolakan pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
NAIB Presiden PKR, Tian Chua keluar dari mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas gagal dalam permohonan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penolakan penamaan calonnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X