Jumaat, 4 Mei 2018 | 1:17pm
MOHD Shukri Shamsudin, 32, dari FELDA Bukit Sagu 1, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan selepas motosikal ditunggang bergesel dengan motosikal lain di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, Sungai Karang, Kuantan. - Foto Shahrul Nizam Mohamad

Lelaki maut digilis lori

KUANTAN: Seorang penyelia tapak perumahan maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain lalu tercampak dan digilis sebuah lori, di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, Sungai Karang di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 8 pagi, Mohd Shukri Shamsudin, 32, dari FELDA Bukit Sagu 1 di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC, dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal Honda NF1004-MA dinaiki dua lelaki warga Myanmar yang dikatakan mengubah laluan secara mengejut dari lorong kiri ke kanan menghala ke Gebeng.

"Mangsa tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal ditunggang dua lelaki warga Myanmar terbabit.

"Berikutan itu, mangsa tercampak ke laluan kiri sebelum digilis sebuah lori membawa muatan pasir yang datang dari belakang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua warga Myanmar berkenaan yang bekerja sebagai buruh binaan, Mir Ali Juhar, 20, dan Abd Rohim Habib Ullah, 30, mengalami luka di badan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik Kuantan, dan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Beliau berkata, polis juga mengambil sampel darah mangsa untuk ujian toksikologi.

"Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan jalan lurus. Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X