Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:13pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto BERNAMA

860 kertas siasatan PRU-14 dibuka

KUALA LUMPUR: Sebanyak 860 kertas siasatan berkaitan khianat dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang enam hari tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bermula 28 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata daripada jumlah itu, 17 kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dengan 14 kertas siasatan sudah dibuka yang membawa kepada penahanan 17 individu.

Katanya, 15 individu sudah dirakam percakapan dan dibebaskan, manakala seorang ditahan di Johor kerana terbabit pergaduhan dan seorang lagi ditahan di Sabah kerana menyamar sebagai penjawat awam.

"Lelaki yang ditahan di Johor disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, manakala lelaki di lelaki yang ditahan di Sabah disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan.

"Selebihnya iaitu kira-kira 840 kes membabitkan perbuatan khianat seperti membakar, menjatuh dan menurunkan bendera atau kain rentang parti serta membakar pusat kempen seperti yang berlaku di Perlis, Kedah dan Melaka," katanya pada sidang media khas, di Bukit Aman, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Mohamad Fuzi berkata, polis juga menahan beberapa individu yang terbabit dalam pertaruhan pilihan raya.

Katanya, tangkapan dilakukan di Sarawak pada hari ketiga kempen pilihan raya berjalan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi juga memaklumkan polis akan memanggil serta merakam percakapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jika ada keperluan berhubung dakwaan pesawatnya disabotaj.

Kes disiasat oleh polis Kontinjen Kuala Lumpur, mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Berita Harian X