Jumaat, 11 Mei 2018 | 6:04pm
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

Lima penyamun larikan 10 dulang emas

KAJANG: "Saya dengar jeritan sebelum melihat dua lelaki mengacu parang ke arah pekerja," kata saksi kejadian samun di sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Saujana Utama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.36 tengah hari itu, sebanyak 10 dulang mengandungi barang kemas dianggarkan bernilai RM2 juta dilarikan lima penjenayah yang bersenjatakan pistol, parang dan tukul.

Pekerja di sebuah restoran yang terletak berhampiran kedai emas itu, Nur Alia Mustafa, 25, ketika kejadian, dia dan rakannya, Nur Ariesya Othman, 18, sedang makan sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan terbabit.

Katanya, keadaan bertukar menjadi kelam kabut apabila seorang daripada pekerja kedai emas itu melarikan diri ke arah mereka.

"Kami terus diri ke bahagian dapur, manakala pekerja lelaki itu terus keluar melalui pintu utama untuk melarikan diri.

"Kejadian berlaku dengan sangat cepat, namun kami sempat melihat penjenayah terbabit memecahkan cermin ruang pameran dan membawa dulang barang kemas sebelum melarikan diri melalui pintu utama pasar raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lima suspek yang memakai jaket, topi keledar tutup muka penuh dan bersarung tangan memasuki premis berkenaan bersenjatakan pistol, parang dan tukul.

"Ketika kejadian, ada lima kakitangan dan seorang pengawal keselamatan di dalam premis, namun tiada pelanggan.

"Suspek memecahkan cermin pada tiga ruang pameran dan melarikan 10 dulang barang kemas mengandungi gelang dan rantai emas dianggarkan bernilai RM2 juta," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek mengambil masa hampir dua minit menggeledah premis berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

"Semua kakitangan kedai emas itu sempat melarikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata. Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-87336580," katanya.

Katanya, kedai emas berkenaan pernah disamun empat lelaki pada Oktober tahun lalu.

Berita Harian X