Sabtu, 12 Mei 2018 | 2:56pm
ORANG ramai melihat kemusnahan kedai menjual dan memasang alat gantian kereta yang musnah dalam kebakaran di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang. - Foto Faliq Lajim
ORANG ramai melihat kemusnahan kedai menjual dan memasang alat gantian kereta yang musnah dalam kebakaran di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang. - Foto Faliq Lajim
KEADAAN dalam kedai menjual dan memasang alat gantian kereta yang musnah dalam kebakaran di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang. - Foto Faliq Lajim
KEADAAN dalam kedai menjual dan memasang alat gantian kereta yang musnah dalam kebakaran di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang. - Foto Faliq Lajim

Kedai alat ganti kereta terbakar

KLANG: Pemilik sebuah kedai menjual dan memasang alat gantian kereta kerugian selepas separuh kedai itu musnah dalam kebakaran di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.55 malam itu, kebanyakan peralatan gantian itu yang diletakkan di ruang utama kedai hangus terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengurus kedai, P Murugesan, 46, berkata, dia sedang berehat di rumah apabila anak saudaranya memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Kami kemudian bergegas ke kedai yang terletak tidak jauh dari rumah. Apabila sampai api sudah marak.

"Saya cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pili air berdekatan sementara menunggu bomba datang tetapi api terlalu marak," katanya yang tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.

Murugesan berkata, kedai itu pada asalnya milik mendiang abangnya yang diusahakan selama sembilan tahun sebelum diambil alih anak saudaranya.

Pada masa sama, dia bersyukur apabila kereta pelanggan tidak terjejas dalam kebakaran itu.

"Lima tahun lalu pun pernah berlaku kebakaran tetapi hanya di struktur belakang kedai saja dan ia dipercayai akibat perbuatan khianat.

"Kali ini kami tak tahu punca kebakaran dan hanya menunggu laporan daripada bomba," katanya yang menganggarkan kerugian lebih RM20,000.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.01 malam.

Beliau berkata, 20 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, Sungai Pinang serta Kota Raja bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak sebelum berjaya dikawal jam 10.20 malam.

"Tindakan pantas anggota berjaya mengelakkan api daripada merebak ke premis lain yang berdekatan," katanya sambil menyatakan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Berita Harian X