Selasa, 15 Mei 2018 | 12:24pm

Suami Ziana Zain mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM: Suami penyanyi popular, Ziana Zain, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka pada Februari lalu.

Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pindaan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam 24 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 8 Mac lalu, Armin Zaharin mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kes itu yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh diwakili peguam Nurul Fadzlinda Ibrahim dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Yang turut hadir ketika prosiding itu ialah peguam pemerhati dilantik Ziana, Luqman Mazlan.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 28 Mei depan bagi serahan dokumen.

ARMIN Zaharin (kanan) hadir ke mahkamah bagi sebutan kes cerai bersama isterinya yang juga penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain (gambar kecil) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X