Selasa, 15 Mei 2018 | 1:44pm
PENYANYI terkenal, Ziana Zain ketika hadir bagi sebutan kes penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENYANYI terkenal, Ziana Zain ketika hadir bagi sebutan kes penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

28 Jun tarikh sebutan berhubung kes cerai Ziana

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes perceraian penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas suami Ziana, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, enggan melafazkan talak secara baik kerana mahu menemui semua anak mereka.

"Berikutan faktor itu (anak), saya beranggapan kamu sebagai defendan (Armin Zaharin) tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap plaintif (Ziana).

"Justeru, mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, saya akan mengagihkan laporan kedua-dua pihak kepada Jawatankuasa Pendamai yang dipengerusikan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Petaling.

"Perkara berkaitan hak penjagaan anak pula perlu dilakukan pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah," katanya.

Pada prosiding itu, Ziana diwakili adiknya yang juga penyanyi, Anuar Zain, manakala Armin Zaharin diwakili rakannya, Azizi Yaakob.

Laporan Ziana antara lain menyatakan isu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera membabitkan anak mereka.

Terdahulu, Armin Zaharin memberitahu mahkamah, mahu melafazkan cerai tetapi memerlukan persetujuan bersama berkaitan semua anaknya yang tidak ditemui sejak Mac lalu.

Pada 3 April lalu, Ziana atau nama sebenar Siti Roziana Zain, 50, memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah di sini, namun suaminya dikatakan tidak bersetuju melafazkan cerai dan meminta kes itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.

Sementara itu, Ziana ketika ditemui berkata, beliau hanya mengikut prosedur ditetapkan polis yang tidak membenarkan kesemua anak mereka menemui Armin Zaharin sepanjang kes perbicaraan.

"Saya bukannya zalim dan tidak mahu membenarkan dia berjumpa anak. Namun, saya perlu mematuhi arahan polis kerana mereka menjadi saksi kes penderaan seorang daripada anak kami.

"Kini, saya lebih tenang dan berharap memperoleh keputusan yang baik daripada mahkamah pada bulan depan," katanya.

Armin Zaharin yang juga bekas pramugara kanan sebuah syarikat penerbangan, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka pada Februari lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam 24 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis terbabit dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum suaminya ditahan bagi membantu siasatan.

Pasangan bernikah pada Mei 1998 itu dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Berita Harian X