Selasa, 15 Mei 2018 | 2:38pm
LOKASI seorang warga emas, C Shelliee berusia 67 tahun yang ditemui mati tertiarap dipercayai dicederakan penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Seri Duyong. - Foto Mohd Hilmie Hussin

Menantu mangsa bunuh ditahan polis

MELAKA: Polis menahan dua suspek termasuk menantu kepada wanita warga emas yang dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Taman Seri Duyong, di sini, 6 Mei lalu.

Suspek wanita berusia 26 tahun dan lelaki berumur lingkungan 20 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sun Teoh Tia, berkata wanita terbabit ditahan pada hari kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 5 petang.

"Suspek kedua yang juga rakannya ditahan di Johor Bahru, kira-kira jam 4 pagi, Ahad lalu.

"Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis akan melakukan dua lagi tangkapan dalam tempoh terdekat selepas mengenal pasti identiti dua individu berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Wanita Bersama Mencegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris.

Teoh Tia berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai samun.

"Kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, wanita warga emas, C Shellie, 67, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di katil dengan mulut berdarah dipercayai dicederakan penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya.

Berita Harian X