Jumaat, 18 Mei 2018 | 11:55pm

2 perompak kedai emas mati ditembak

PETALING JAYA: Dua penjenayah maut, manakala seorang lagi cedera ditembak anggota polis sejurus suspek merompak sebuah kedai emas di Atria Shoping Galery Damansara Jaya di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian jam 5 petang, tiga lagi penjenayah warga tempatan dapat diberkas sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata sekumpulan enam penjenayah merompak kedai emas di pusat beli-belah berkenaan.

Beliau berkata, suspek memakai topi keledar bertutup penuh muka itu dikatakan bersenjatakan tukul besi dan pistol.

"Seorang daripada suspek kemudian meluru masuk ke dalam premis sebelum mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan.

"Pada masa sama, lima suspek yang lain terus meluru masuk ke dalam premis dan memecahkan cermin pameran barang kemas menggunakan tukul besi," katanya.

Fadzil berkata, suspek kemudian memasukkan barang kemas itu ke dalam beg sebelum melarikan diri melalui lobi pusat beli-belah itu.

"Pada masa sama, sepasukan anggota D9 IPK Selangor segera menuju ke pusat beli-belah itu sejurus menerima laporan dan terserempak dengan suspek yang cuba melarikan diri menaiki tiga motosikal lalu mengejar mereka.

"Bagaimanapun, suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis. Susulan itu, polis terpaksa membalas tembakan, menyebabkan dua penjenayah mati di lokasi kejadian," katanya.

Fadzil berkata, seorang lagi penjenayah cedera terkena dua das tembakan, manakala tiga lagi penjenayah diberkas.

"Polis percaya kumpulan penjenayah samun kedai emas terbabit aktif melakukan rompakan di beberapa negeri terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Polis menemui semula barang kemas dilarikan penjenayah, selain merampas dua pistol dan senapang patah dibawa mereka.

"Bagaimanapun, polis percaya ada di antara suspek berjaya melarikan diri dan usaha memburu mereka giat dilakukan," katanya.

PEROMPAK mati ditembak polis bersebelahan pasaraya Atria, Damansara Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan
PEROMPAK mati ditembak polis bersebelahan pasaraya Atria, Damansara Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan
TIGA lelaki yang juga suspek kes samun kedai emas ditembak mati oleh polis dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Damansara Jaya, di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.
TIGA lelaki yang juga suspek kes samun kedai emas ditembak mati oleh polis dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Damansara Jaya, di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.
Berita Harian X