Isnin, 21 Mei 2018 | 11:29am

Permohonan notis tunjuk sebab bekas suami Serena ditolak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan notis tunjuk sebab difailkan bekas suami selebriti, Serina Redzuawan berhubung pelanggaran perintah persetujuan bersama.

Hakim Syarie Salehan Yatim memutuskan demikian selepas meneliti permohonan dan afidavit dikemukakan plaintif, Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan alasan keputusan itu dan mengarahkan Gavin memfailkan semula permohonan sama di mahkamah.

Dalam pada itu, peguam Gavin, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya menerima keputusan berkenaan dan akan meneliti alasan penolakan permohonan.

"Saya belum mengetahui alasan itu namun akan membuat permohonan semula mengenainya," katanya.

Pada 17 April lalu, Gavin memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) selepas Serina, 35, memuat naik beberapa status di Instagramnya sekali gus melanggar perintah persetujuan bersama yang dieksibitkan pada 27 Julai 2017.

NSTP sebelum ini melaporkan anak chef terkemuka, Chef Wan itu memuat naik status di laman Instagram miliknya, 19 Mac lalu, mendakwa Gavin cuba membuli dirinya sebagai ibu selepas tidak membenarkan dia berjumpa anaknya setiap hari sedangkan persetujuan bersama menetapkan responden hanya boleh berjumpa anaknya pada setiap hujung minggu.

Serina dengan cara sama didakwa turut menyatakan bekas suaminya itu bersekedudukan hingga ditangkap khalwat sedangkan perkara itu tidak benar.

Pasangan itu bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef, 7, dan Isabella Saffiya, 6.

GAVIN Edward O' Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar (kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X