Selasa, 22 Mei 2018 | 9:54pm
TERTUDUH Nik Haniff Nik Hasain dipenjara lima tahun atas tuduhan menyeludup tiga warga Myanmar, tahun lalu. - Foto Muhamaad Razis Ismail
TERTUDUH Nik Haniff Nik Hasain dipenjara lima tahun atas tuduhan menyeludup tiga warga Myanmar, tahun lalu. - Foto Muhamaad Razis Ismail

Penjara lima tahun seludup warga asing

KOTA BHARU: Seorang lelaki dipenjara lima tahun di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terhadap tuduhan menyeludup tiga warga Myanmar, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Bache mengenakan hukuman itu selepas tertuduh Nik Haniff Nik Hasain, 34, mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak dengan hukuman penjara 17 bulan bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam ketika ditahan yang dijatuhkan di Mahkamah Majistret Jeli pada 2 April lalu.

Ahmad dalam keputusannya memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

"Kamu jangan buat lagi kesalahan ini, jika buat lagi keluarga kamu dan empat anak akan menerima kesan," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang sudah dituduh didakwa menyeludup tiga migran di kawasan hutan di Kamping Batu Melintang, Jeli pada jam 1.30 tengah hari, 24 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Oang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama seksyen 34 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra menuju ke Bukit Bunga dan mengekorinya sejauh 40 kilometer.

Apabila mereka memintas kenderaan itu dan mengarahkannya berhenti, tertuduh enggan memberi kerjasama, termasuk menghimpit kenderaan penguatkuasa dan membaling objek dan memberhentikan kenderaan secara mengejut sebelum mengundur dengan laju.

Oleh kerana, tindakan agresif itu, penguatkuasa mengambil tindakan terakhir dengan melepaskan tembakan amaran namun gagal.

Mereka kemudian melepaskan tujuh das tembakan ke arah tayar belakang sebelum kenderaan itu terbabas di tepi jalan.

Tertuduh kemudian berjaya ditangkap bersama tiga migran terbabit.

Terdahulu, peguam Azahir Nasir memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan salah dan latar belakang keluarganya,

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan serius membabitkan keselamatan awam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X