Rabu, 23 Mei 2018 | 10:07am

Bayi setahun disyaki didera

PENAMPANG: Bayi perempuan berusia setahun disyaki didera oleh nenek saudaranya di rumah ibu mangsa di sebuah rumah kedai di pekan Donggongon, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian itu disedari oleh ibu bayi terbabit apabila terkejut melihat kesan lebam di bahagian muka, badan dan kaki anaknya sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 1 pagi.

Susulan kejadian itu, ibu bayi terbabit membawa anaknya ke hospital sebelum membuat laporan polis, jam 12.13 tengah hari, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan mendapati bayi perempuan itu dijaga oleh nenek saudaranya kerana ibu mangsa ketika itu sedang bekerja.

"Ketika pulang bekerja, wanita itu mendapati beberapa kesan lebam di muka, badan dan kaki anaknya lalu bertanya kepada ibu saudaranya, namun menyatakan tidak tahu.

"Ibu mangsa mengesyaki ibu saudaranya yang melakukan perkara itu kerana tiada sesiapa yang ada bersama mangsa selain wanita berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan lanjut pada fizikal mangsa terdapat kesan lebam pada belakang, kedua-dua kaki, paha sebelah kaki kiri dan atas kening sebelah kiri.

"Mangsa kini ditahan di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, di sini, untuk rawatan lanjut dan polis masih mengumpul maklumat bagi mengesan suspek perempuan berusia 42 tahun," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

26 dibaca
Berita Harian X