Jumaat, 25 Mei 2018 | 4:51pm
SEORANG pekerja tempat pengumpulan barangan lusuh mencari barangan yang masih boleh diguna selepas premis itu seluas 0.4 hektar premis musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto Syamsi Suhaimi
SEORANG pekerja tempat pengumpulan barangan lusuh mencari barangan yang masih boleh diguna selepas premis itu seluas 0.4 hektar premis musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto Syamsi Suhaimi
SAKSI kejadian, Wan Raudhed Wan Ab Rahman, 40, melihat kawasan 0.4 hektar premis pengumpulan barangan lusuh yang musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto Syamsi Suhaimi
SAKSI kejadian, Wan Raudhed Wan Ab Rahman, 40, melihat kawasan 0.4 hektar premis pengumpulan barangan lusuh yang musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto Syamsi Suhaimi

Lebih 12 jam padam kebakaran

KOTA BHARU: "Api merebak dengan cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," kata Wan Raudhed Wan Ab Rahman, 40, saksi kebakaran membabitkan premis pengumpulan barangan lusuh di Pasir Tumboh di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, premis berkeluasan 0.4 hektar itu musnah dijilat api, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Api berjaya dipadamkan sepenuh jam 5.43 pagi ini selepas 12 jam anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran sejak semalam.

Wan Raudhed berkata, beliau sedang menonton televisyen apabila terhidu bau hangit sebelum secara tiba-tiba jiran datang memberitahu bahawa premis yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya sedang terbakar.

"Saya kemudian bergegas keluar dan terkejut melihat api sedang marak, ketika itu saya dapat rasakan bahang api.

"Kami sekeluarga cuba mengawal api daripada merebak ke rumah, namun terpaksa berpatah balik selepas terdengar bunyi beberapa letupan dipercayai dari tong gas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, sementara menunggu bomba tiba, beliau bersama penduduk kampung bertungkus lumus memindahkan keluar barang termasuk perabot kerana khuatir api mungkin merebak ke rumah.

"Mujurlah tindakan pantas bomba yang tiba tidak lama selepas itu berjaya mengawal api dari merebak ke beberapa rumah yang terletak berhampiran premis itu.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran sehingga awal pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Kanan II, SyobirinAbd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar pelbagai barangan lusuh membabitkan besi dan plastik terpakai.

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa dua jam dan kita berjaya menyelamatkan enam rumah yang berada berhampiran lokasi kejadian.

"Api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya jam 5.43 pagi ini berikutan kawasan yang luas dan kami terpaksa menggunakan jengkaut untuk memadamkan kebakaran di bawah timbunan barangan lusuh," katanya.

Tambah beliau, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X