Selasa, 29 Mei 2018 | 12:57pm
ANGGOTA APM memotong pokok yang tumbang di laluan masuk Kampung Telibong, Jalan Telibong, Tamparuli, semalam. - Foto ihsan APM

Pokok tumbang punca jalan sesak

TUARAN: Lebih 20 pemilik kenderaan gagal meneruskan perjalanan selepas dua pokok tumbang menutupi dua hala di laluan masuk Kampung Telibong, Jalan Telibong, Tamparuli, semalam.

Bagaimanapun, tiada kejadian buruk berlaku dalam kejadian hujan lebat, kira-kira jam 6 petang itu.

Pengguna kenderaan, Hairee Abdullah, 32, berkata mereka menunggu hampir sejam sementara kerja pengalihan dan pembersihan pokok selesai.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga masih bekerja walaupun ketika itu sudah masuk waktu berbuka puasa.

"Kami memberi kerjasama yang baik dan sabar menunggu," katanya dihubungi.

Sementara itu, pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis, berkata sepasukan anggota APM dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

"Sebaik tiba, skuad mendapati dua pokok mangga berukuran 12 meter tumbang dan merintangi permukaan jalan yang menghalang kenderaan masuk ke kampung berkenaan.

"Skuad APM membersihkannya menggunakan pemotong kayu dan parang sebelum menamatkan operasi jam 7.42 malam," katanya.

Berita Harian X