Rabu, 30 Mei 2018 | 4:23pm
PEGAWAI Bomba dan Penyelamat membawa keluar bahan bukit kes kebakaran 23 penghuni pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
PEGAWAI Bomba dan Penyelamat membawa keluar bahan bukit kes kebakaran 23 penghuni pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pendakwa Raya akan buktikan tertuduh berniat membunuh

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes dua remaja didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September lalu akan membuktikan kesemua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan, termasuk luka bakar dan terhidu asap.

Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah berkata, pendakwaan akan membuktikan kematian kesemua mangsa adalah disebabkan oleh perbuatan kedua-dua tertuduh selain mereka mempunyai niat bersama untuk membunuh.

Dalam ucapan pembukaannya, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau berkata, hasil siasatan pihak bomba mendapati punca kebakaran di pusat tahfiz itu adalah dikategorikan sebagai sengaja dibakar.

Di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, Othman menegaskan hasil siasatan bomba juga mendapati tempat bermula kebakaran adalah di hadapan pintu masuk bilik asrama pusat tahfiz itu.

"Sumber nyalaan yang mencetuskan kebakaran itu adalah daripada pemetik api yang digunakan untuk menyalakan petrol yang telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut, dinding dan pintu masuk bilik asrama.

"Nyalaan api ini menjadi semakin kuat dengan adanya gas daripada kedua-dua tong gas petroleum cecair (LPG) lalu menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama itu.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati bahawa sebelum kebakaran tercetus, kedua-dua tertuduh berbual berhubung mahu membakar pusat tahfiz itu pada 14 September 2017," katanya pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Menerusi ucapan pembukaannya juga, Othman berkata kedua-dua tertuduh dilihat meninggalkan Lorong Keramat 18, Jalan Datuk Keramat pada 14 September 2017 jam 4.15 pagi dengan menaiki dua motosikal, dan pada jam 4.30 pagi, mereka telah ke kawasan berhampiran tempat kejadian sebelum masuk ke dalam kawasan pusat tahfiz dengan cara melompat pagar serta membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral.

"Pada jam 4.50 pagi, kedua-dua tertuduh melompat keluar daripada pusat tahfiz itu dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa sebelum mereka meninggalkan tempat kejadian menaiki motosikal. Pada masa sama, cahaya api telah kelihatan di tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan.

"Pihak polis berjaya menemui beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesahkan kehadiran kedua-dua tertuduh di beberapa lokasi termasuk kawasan berhampiran tempat kejadian," katanya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar, manakala peguam Boestaman Ahmad, Roswadya Roslan dan Mohd Tajuddin Abd Razak bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz serta keluarga mangsa.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 hingga 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X