Khamis, 31 Mei 2018 | 4:29pm
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jln Keramat Ujung yang mengorbankan 23 nyawa pelajar Tahfiz. - Foto Yazit Razali
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jln Keramat Ujung yang mengorbankan 23 nyawa pelajar Tahfiz. - Foto Yazit Razali

Saksi sahkan empat bahan mudah terbakar

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai sains memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, empat daripada tujuh sampel bahan bukti yang diambil dari lokasi kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September tahun lalu dikesan terdapat cecair petrol.

Saksi pendakwaan ketiga, Yusnita Osman, 38, yang bertugas di Makmal Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Lumpur berkata, beliau menjalankan ujian pengesahan menggunakan gas Chromatography-Mass Spectrometer (GCMS) pada setiap satu sampel yang mengandungi bahan seperti sisa kebakaran, simen dinding dan bahan di dalam dinding.

"Saya menerima tujuh kotak sampel yang masing-masing ditandakan dan berpelekat keselamatan bahan bukti Jabatan Bomba dan Penyelamat daripada Penguasa Kanan Bomba, Ashari Johari pada jam 5 petang, 14 September 2017.

"Saya memeriksa kotak yang bertanda A, B, C, D, E, I dan J yang mana di dalamnya terdapat masing-masing satu beg nailon yang diikat dengn 'cable tie'.

"Hasil analisis mendapati kesan cecair mudah menyala jenis petrol dikesan pada sampel A,B,D dan J. Tiada kesan cecair mudah menyala dikesan pada sampel bertanda C dan I.

"Pada Sampel E pula saya dapati terdapat bahan jenis 'polivinylchloride' (PVC)," katanya pada perbicaraan kes dua remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 hingga 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ashari, 37, yang bertugas di Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, ketika menjalankan siasatan di tempat kejadian, beliau menemui dua tong gas di hadapan pintu masuk bilik asrama di tingkat dua bangunan berkenaan.

"Masa saya naik ke tingkat atas, saya nampak dua tong gas di hadapan pintu masuk asrama dengan satu daripadanya dalam keadaan terbaring," katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, kedua-dua tong gas itu kemudian di serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 2 Julai ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X