Jumaat, 8 Jun 2018 | 9:12pm

Geng Timah lumpuh selepas diberkas polis

BUKIT MERTAJAM: Sindiket lerai dan curi motosikal yang aktif beroperasi sejak awal tahun lalu lumpuh selepas polis memberkas lima lelaki ahli 'Geng Timah' di sini kelmarin.

Dalam serbuan berasingan awal pagi kelmarin, polis menahan ahli kumpulan itu masing-masing di Kampung Masjid Timah, Kampung Setol, Bandar Cassia dan Bagan Jermal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di Kampung Masjid Timah jam 1.30 pagi Rabu lalu dan seorang lelaki berjaya ditahan.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan empat suspek lain di Kampung Setol, Bandar Cassia dan Bagan Jermal pada hari sama.

Menurutnya, susulan itu, polis berjaya menemui komponen motosikal curi yang disimpan di sebuah rumah diduduki salah seorang suspek dikenali Fendi di Kampung Setol, Perai.

"Selain Fendi, kita turut menahan suspek lain dipanggil 'Abang' bersama sebuah motosikal curi jenis Kawasaki RR di Bandar Cassia.

"Kita juga berjaya menahan suspek lain dikenali Ayie di Kampung Bukit Timah dan rakannya dikenali Ajib di Bagan Jermal.

"Suspek mengaku mencuri motosikal dan mereka kini direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Berita Harian X