Sabtu, 9 Jun 2018 | 7:10pm

Seorang maut motosikal rempuh lori tangki

SUNGAI BESAR: Seorang maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang ditunggangi masing-masing merempuh lori tangki di Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 3 pagi berhampiran Panchang Bedena itu, mangsa, Muhamad Azizil Alim Samuri, 24, yang menunggang Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah pada kepala.

Rakannya, Muhamad Amri Saharudin, 21, juga menunggang motosikal jenis sama parah pada kepala, manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dan pemandu lori dari arah Sekinchan menuju ke Sabak Bernam.

"Setiba di lokasi kejadian, jalan yang sebelumnya ditutup menjadi satu lorong dibuka kepada dua lorong dan pemandu lori memberi tanda isyarat menukar laluan masuk ke lorong kiri.

"Pada masa sama, kedua-dua penunggang motosikal itu disyaki cuba memotong dari kiri lori sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Katanya, Muhamad Amri pula turut dibawa ke HTAJ sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi rawatan lanjut dan dilaporkan koma.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

17 dibaca
Berita Harian X